Rabu, 26 Jun 2013

20 Amalan Menambahkan Rezeki


Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya. Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:

1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.:

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)

3.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)

Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:

“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:

“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:

“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)

13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:

“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)

14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)

16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.

19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:

“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3)

Nabi s.a.w. bersabda:

“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)

Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.

Jumaat, 14 Jun 2013

MALAM NISFU SYAABAN



Nisfu dalam bahasa arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam lima-belas Syaaban iaitu siangnya empat-belas haribulan Syaaban. Maka, Nisfu Syaaban adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaabantahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu.

Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai. Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul qadr. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W tidak tidur pada malam itu sebagaimana yg tersebut dalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a: “Rasulullah S.A.W telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda S.A.W dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda S.A.W berkata dlm sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yg akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kpdMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.” Baginda Rasulullah sendiri telah menggalakkan kita agar beramal pada malam kemuliaan nisfu syaaban dengan sabdanya :

Ertinya : “ Apabila tiba malam Nisfu Syaaban , maka hendaklah kalian bangun pada malamnya (melakukan ibadat) dan berpuasa pada siangnya, ini kerana Allah swt (turun merahmati hamba-hambaNya) pada malam tersebut mulai dari terbenamnya matahari ke langit dunia. Allah swt berfirman ” Adakah dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon keampunan, maka akan Ku ampunkannya. Adakah dari kalangan mereka yang memohon rezeki , maka akan Ku turunkan rezeki untuknya. Adakah dari kalangan mereka orang yang ditimpa bala, maka akan Ku sejahterakannya. Adakah dari kalangan mereka yang begini dan adakah dari kalangan mereka yangt begini sehinggalah terbit Fajar “.

Setelah Baginda S.A.W selesai sembahyang, Baginda berkata kpd Saiyidatina Aisyah r.a.“Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yg beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yg memberi rahmat dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang2 yg dengki.”

Hari nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan kita selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu maghrib, (15 Syaaban bermula pada 14 hb Syaaban sebaik sahaja masuk maghrib).

Kasihku Aleesya..


Permata Hatiku yg keempat…Nur Aleesya Binti Muhammad Faizal. Telah dilahirkan pada 9 September 2012 di Hospital Sultan Ibrahim, Johor Bahru…Kehadirannya memberikan aku kekuatan…Kekuatan untuk meneruskan hidup yang penuh dengan cabaran dan dugaan.Terima Kasih Sayangku


Aleesya ( 1 minggu )
Aleesya (Sebulan)
Aleesya ( 2 Bulan)
Aleesya (5 Bulan)

PERMATA HATIKU

Alya Afiqah & Alif Haikal

Aiman Hakim & Alya Afiqah

Alif Haikal

Nur Aleesya

Fadhilat Bulan Syaaban


Ditulis oleh Khairul Azhar Bin Idris. Posted in Artikel

Islam memberikan pelbagai peluang keemasan yang seharusnya diterokai dan diikuti oleh setiap penganutnya. Peluang yang diberikan oleh Islam ialah dengan memberikan pelbagai tawaran dan ganjaran yang akan diperolehi sekiranya mereka berusaha untuk mematuhi ajarannya. Inilah yang mencorakkan keindahan ajaran Islam. Semua ini bertindak sebagai pencetus daya motivasi mereka untuk terus berusaha dan bekerja di samping mengejar segala kebaikan dan menjauhi segala kejahatan. Kelebihan yang baik itu seterusnya diberikan hanya kepada mereka yang berusaha mencari kebaikan dan menghapuskan kejahatan.
Salah satu peluang yang mesti direbut itu adalah mengejar kebaikan yang hanya diberikan oleh Allah dalam bulan-bulan tertentu dan tidak pada bulan-bulan yang lain. Jika ada, ganjaran di bulan tersebut tentunya lebih baik lagi jika dibandingkan dengan kebaikan yang ada pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya, setiap ganjaran akan diberikan oleh Allah kepada para hambaNya dalam bulan-bulan tertentu. Ini bertujuan untuk meningkatkan kesungguhan mereka berusaha dan beramal, malah ini untuk kebaikan mereka juga. Inilah peluang keemasan yang semestinya mereka kejar dengan melakukan pelbagai perbuatan baik dan mulia. Sudah tentu, mereka pula janganlah semata-mata ingin memperolehi ganjaran itu, tetapi yang lebih utama adalah mendapatkan keredhaan Allah, dan inilah yang lebih penting. Kerana ganjaran baik itu akan mereka perolehi jika Allah meredhai amalan mereka.
Kelebihan yang Allah berikan dalam bulan Syaaban amat bermakna bagi para hamba yang ikhlas. Banyak hadis Rasul S.A.W yang diriwayatkan menceritakan kelebihan bulan ini. Antaranya ialah sabda Rasul S.A.W bermaksud: Bulan Rejab adalah bulan Allah, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah bulan untuk menghapuskan dosa dan Ramadhan ialah bulan menyucikan diri dari dosa. Nabi S.A.W. memberikan simbolik bahawa bulan Syaaban sebagai bulan baginda. Ini diertikan sebagai bulan di mana baginda banyak melakukan amal ibadah. Simbolik ini juga bererti umatnya sepatutnya melakukan banyak amal ibadah sebagaimana yang banyak dilakukan oleh baginda.
Antara amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah puasa. Amalan ini bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana ia benar-benar menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini bertepatan dengan sabda Rasul S.A.W bermaksud, Barangsiapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan diwajibkan syurga ke atasnya.
Dalam sebuah hadis lain, baginda Rasul S.A.W. bersabda yang bermaksud, Sesungguhnya bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan mendapat pahala 70 orang nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan sekiranya dia mati pada tahun itu, matinya seperti mati syahid. Itulah antara kelebihan berpuasa dalam bulan Syaaban. Di samping itu, berpuasa dalam bulan ini juga adalah sebagai persediaan untuk melakukan ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan.
Seterusnya bulan Syaaban ini juga merupakan bulan di mana setiap doa orang-orang beriman akan dimakbulkan Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar, Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu yang doanya tidak ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Di samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300 pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina, orang yang memakan riba’, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan. Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar bertaubat dan tidak akan mengulanginya.
Inilah antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para hambaNya dalam bulan Syaaban. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi semua kelebihan ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amalan mereka. Semua ganjaran ini juga adalah sebagai perangsang kepada mereka untuk melipatgandakan amalan dan usaha mereka. Mereka hendaklah merebut peluang keemasan ini untuk kejayaan mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di kandung badan. Ini juga bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud, Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum datangnya masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa senang sebelum datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit dan masa hidup sebelum datangnya mati.