Ditulis
oleh Khairul Azhar Bin Idris. Posted in Artikel
Islam
memberikan pelbagai peluang keemasan yang seharusnya diterokai dan diikuti oleh
setiap penganutnya. Peluang yang diberikan oleh Islam ialah dengan memberikan
pelbagai tawaran dan ganjaran yang akan diperolehi sekiranya mereka berusaha
untuk mematuhi ajarannya. Inilah yang mencorakkan keindahan ajaran Islam. Semua
ini bertindak sebagai pencetus daya motivasi mereka untuk terus berusaha dan
bekerja di samping mengejar segala kebaikan dan menjauhi segala kejahatan.
Kelebihan yang baik itu seterusnya diberikan hanya kepada mereka yang berusaha
mencari kebaikan dan menghapuskan kejahatan.
Salah
satu peluang yang mesti direbut itu adalah mengejar kebaikan yang hanya
diberikan oleh Allah dalam bulan-bulan tertentu dan tidak pada bulan-bulan yang
lain. Jika ada, ganjaran di bulan tersebut tentunya lebih baik lagi jika
dibandingkan dengan kebaikan yang ada pada bulan-bulan yang lain. Sesungguhnya,
setiap ganjaran akan diberikan oleh Allah kepada para hambaNya dalam
bulan-bulan tertentu. Ini bertujuan untuk meningkatkan kesungguhan mereka
berusaha dan beramal, malah ini untuk kebaikan mereka juga. Inilah peluang
keemasan yang semestinya mereka kejar dengan melakukan pelbagai perbuatan baik
dan mulia. Sudah tentu, mereka pula janganlah semata-mata ingin memperolehi
ganjaran itu, tetapi yang lebih utama adalah mendapatkan keredhaan Allah, dan
inilah yang lebih penting. Kerana ganjaran baik itu akan mereka perolehi jika
Allah meredhai amalan mereka.
Kelebihan
yang Allah berikan dalam bulan Syaaban amat bermakna bagi para hamba yang
ikhlas. Banyak hadis Rasul S.A.W yang diriwayatkan menceritakan kelebihan bulan
ini. Antaranya ialah sabda Rasul S.A.W bermaksud: Bulan Rejab adalah bulan
Allah, bulan Syaaban adalah bulanku, dan bulan Ramadhan adalah bulan umatku.
Syaaban ialah bulan untuk menghapuskan dosa dan Ramadhan ialah bulan menyucikan
diri dari dosa. Nabi S.A.W. memberikan simbolik bahawa bulan Syaaban sebagai
bulan baginda. Ini diertikan sebagai bulan di mana baginda banyak melakukan
amal ibadah. Simbolik ini juga bererti umatnya sepatutnya melakukan banyak amal
ibadah sebagaimana yang banyak dilakukan oleh baginda.
Antara
amalan yang amat digalakkan dilakukan dalam bulan ini ialah puasa. Amalan ini
bolehlah dianggap sebagai satu amalan yang agak sukar, kerana ia benar-benar
menguji ketahanan mental, emosi dan fizikal seseorang. Bagaimanapun, inilah
antara amalan yang banyak ganjarannya jika dilakukan dalam bulan ini. Ini
bertepatan dengan sabda Rasul S.A.W bermaksud, Barangsiapa berpuasa sehari
dalam bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan
menjadi rakan taulan Nabi Allah Yusuf di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah
seperti pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa sebulan dalam bulan
ini, dimudahkan Allah akan saat matinya, dan terlepas dari kegelapan alam
kubur, bebas dari hura-hara munkar dan nankir, ditutup Allah akan aibnya, dan
diwajibkan syurga ke atasnya.
Dalam
sebuah hadis lain, baginda Rasul S.A.W. bersabda yang bermaksud, Sesungguhnya
bagi sesiapa yang berpuasa selama tiga hari pada permulaan Syaaban, tiga hari
di pertengahan dan tiga hari di akhir Syaaban, akan mendapat pahala 70 orang
nabi, dan seperti orang beribadah 70 tahun dan sekiranya dia mati pada tahun
itu, matinya seperti mati syahid. Itulah antara kelebihan berpuasa dalam bulan
Syaaban. Di samping itu, berpuasa dalam bulan ini juga adalah sebagai
persediaan untuk melakukan ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadhan.
Seterusnya
bulan Syaaban ini juga merupakan bulan di mana setiap doa orang-orang beriman
akan dimakbulkan Allah. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Umar,
Rasul S.A.W bersabda bermaksud, Dalam solat lima waktu yang doanya tidak
ditolak ialah semasa malam Jumaat, pada malam 10 Muharram, pada malam
pertengahan bulan Syaaban dan pada dua malam raya, iaitu malam hari raya
Aidilfitri dan Aidiladha.
Di
samping memohon doa, umat Islam juga digalakkan untuk bertaubat dan memohon
keampunan di atas keterlanjuran mereka dalam bulan ini. Rasul S.A.W bersabda
bermaksud, Apabila tiba malam nisfu Syaaban, telah datang malaikat Jibril lalu
berkata, pada malam ini, pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Maka
dirikanlah solat dan pohonlah doa, sesungguhnya pada malam itu telah dibuka 300
pintu rahmat. Maka Allah mengampuni orang-orang yang tidak menyekutuiNya
kecuali ahli sihir dan dukun, orang yang bermusuhan, peminum arak, pezina,
orang yang memakan riba’, orang yang derhaka kepada ibubapanya, orang yang suka
mengadu domba atau batu api, dan orang yang memutuskan persaudaraan.
Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampun sehinggalah mereka benar-benar
bertaubat dan tidak akan mengulanginya.
Inilah
antara beberapa kelebihan yang Allah kurniakan untuk para hambaNya dalam bulan
Syaaban. Allah yang bersifat Maha Pemurah akan tetap memberi semua kelebihan
ini bagi mereka yang benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam amalan
mereka. Semua ganjaran ini juga adalah sebagai perangsang kepada mereka untuk
melipatgandakan amalan dan usaha mereka. Mereka hendaklah merebut peluang
keemasan ini untuk kejayaan mereka di dunia dan di akhirat selagi hayat di
kandung badan. Ini juga bertepatan dengan maksud hadis Rasul S.A.W bermaksud,
Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara, masa muda sebelum
datangnya masa tua, masa lapang sebelum datangnya masa sibuk, masa senang
sebelum datangnya masa susah, masa sihat sebelum datangnya sakit dan masa hidup
sebelum datangnya mati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan